 © duniabioteknologi™ 2011  Dunia Bioteknologi: [GENERAL BIOTECH] Muhyiddin Promosi Industri Bioteknologi Malaysia

Friday, July 22, 2011

[GENERAL BIOTECH] Muhyiddin Promosi Industri Bioteknologi Malaysia


WASHINGTON – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu “menjual” industri bioteknologi Malaysia kepada penggerak dan pengusaha bioteknologi yang menghadiri Konvensyen Antarabangsa BIO di sini semasa membentangkan hala tuju dan kelebihan industri itu.

Picture: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Muhyiddin, yang merupakan pemimpin asing pertama diberi penghormatan merasmikan pameran pada konvensyen itu, membentangkan usaha dan pendirian Malaysia dalam bidang bioteknologi kepada tetamu dan audien yang menghadiri majlis itu di Pusat Konvensyen Walter E. Washington pada Selasa.
“Malaysia mengiktiraf peranan yang kita boleh mainkan dalam pengembangan sektor teknologi di peringkat serantau malahan global, iaitu penjagaan kesihatan dan farmaseutikal, perindustrian dan pertanian,” katanya.
Muhyiddin menonjolkan kelebihan Malaysia yang termasuk lokasi strategik, kaya dengan sumber biomass, biodiversiti tropika semulajadi, tenaga kerja mahir dan kompeten serta kerajaan yang stabil dan sentiasa memberikan sokongan padu.
Beliau memberitahu audien yang kebanyakannya peserta antarabangsa, Malaysia menetapkan hala tuju untuk menjadi enjin pemacu bioteknologi dalam bidang biofarmaseutikal, peralatan perubatan, kontrak pembuatan, ramuan-ramuan, ujian klinikal dan sektor kecil lain dalam perindustrian dan pertanian bioteknologi.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan kedudukan Malaysia sebagai Hab Halal telah menyediakan potensi besar bagi farmaseutikal halal.
Beliau berkata Malaysia telah mempunyai 188 syarikat yang ditubuhkan melalui program BioNexus di mana mereka menikmati pelbagai insentif dan perkhidmatan berdasarkan Rang Jaminan, yang mendapat sokongan kerajaan Malaysia.
Daripada jumlah syarikat BioNexus itu – lapan ialah milik penuh asing dan 45 syarikat usaha sama dari Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Belanda, United Kingdom, India, Jepun, Singapura dan Taiwan, katanya.
Dalam menggalakkan ekosistem bioteknologi dan taman Bio-Xcell Malaysia yang berdedikasi, yang menumpukan pada pembuatan serta penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) , Muhyiddin berkata: “Bio-Xcell ialah platform dan peluang bagi penjagaan kesihatan dan pemain industri bioteknologi global untuk mendekati lebih tiga bilion pengguna di Asia.”
Sejak pelancaran Bio-Xcell di peringkat global pada Konvensyen Antarabangsa BIO 2010 di Chicago, Bio-Xcell telah berjaya memperoleh tiga pelanggan utama – Biocon, India, GlycosBio, Amerika Syarikat dan Metabolic Explorer, Perancis dengan pelaburan lebih USD200 juta.
Bercakap kepada wartawan Malaysia kemudiannya, Muhyiddin berkata beliau kagum dengan penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Antarabangsa BIO, dikatakan perhimpunan tahunan bioteknologi terbesar di dunia, dan menurutnya Malaysia patut terus menyertainya.
Beliau berkata sektor bioteknologi telah dikenal pasti sebagai aspek penting pertumbuhan di Malaysia dan terdapat keperluan untuk turut memberi tumpuan kepada negara lain untuk melihat pencapaian mereka.
“Kita tidak boleh tertinggal. Dasar kita dah betul dan landasan telah ditetapkan, jadi kita kena kembangkan untuk tambah nilai produk,” katanya.
Sumber: BERNAMA (via mynewshub)

No comments:

Post a Comment

back to top