 © duniabioteknologi™ 2011  Dunia Bioteknologi: [GENERAL BIOTECH] Malaysia Bangunkan Reaktor Bioteknologi

Wednesday, June 29, 2011

[GENERAL BIOTECH] Malaysia Bangunkan Reaktor Bioteknologi

WASHINGTON 28 Jun - Malaysia akan membangunkan reaktor bioteknologi untuk membolehkan industri itu berkembang pesat bagi memenuhi keperluan khusus fungsi organisma mikro terkini dan termaju.

Reaktor itu akan membuka lembaran baru kajian sains hayat kerana yang bakal dibangunkan nanti bukan jenis yang sedia ada di Malaysia, tetapi berkapasiti besar untuk menampung limpahan masuk pelaburan dalam bidang bioteknologi yang membawa sekali organisma mikro berjenis paling terkini, termasuk yang telah diubah suai genetiknya.

Pembangunan berprofil tinggi itu melibatkan kepakaran beberapa pemain utama bidang bioteknologi dan sains hayat di Perancis, Amerika Syarikat dan India.

Rektor yang digambarkan setinggi bangunan tiga hingga empat tingkat itu akan membolehkan beberapa proses biologi seperti penapaian dan tindak balas organisma mikro terkini dan termaju dapat berlaku di Malaysia dan seterusnya dapat memenuhi keperluan khusus industri farmaseutikal, makanan, minuman, bahan harian dan sebagainya.

Menurut Ketua Eksekutif Bio-XCell Sdn. Bhd., Raja Ridzwa Aziz, reaktor bioteknologi itu sedang dalam pembinaan dan ia tidak sama seperti yang sedia ada di Malaysia sekarang.
Katanya, saiz reaktor bioteknologi yang ada di Malaysia iaitu di sebuah kilang minuman berasaskan proses penapaian hanya berkapasiti 1,500 liter padu sahaja.

''Reaktor biotekologi yang sedang dalam pembikinan sekarang berkapisiti berkali-kali ganda, mencecah puluhan ribu liter isi padu," katanya.

Raja Ridzwa berada di Washington bagi mempromosikan Bio-XCell sebagai entiti komersial bioteknologi di Malaysia.

Bio-Xcell dilancarkan di Chicago pada tahun lepas, bertujuan memacu program pengkomersialan dan penyediaan taman dan ekosistem bioteknologi yang kondusif di kawasan pertumbuhan Iskandar, Johor.

Sejak itu, Bio-Xcell tidak menoleh ke belakang dan terus mengikat pemain utama industri dari seluruh dunia untuk melabur dan mencurahkan kepakaran secara langsung atau tidak langsung kepada anak tempatan.

Menurut Raja Ridzwa, pelaburan bermakna bagi pembangunan bahan penisilin yang boleh dimakan terus secara oral dan bukan lagi melalui suntikan oleh sebuah syarikat iaitu Biocon dari India, syarikat biofarmasi dari Perancis iaitu Metabolic Explorer serta Glycos Technology dari Amerika Syarikat dijangka membawa pelaburan ratusan juta ringgit.
 
Sumber berita: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

back to top